Anak Hilang 38 Tahun Lalu Di Temui Hidup Dalam Hutan

Seorang budak perempuan berusia empat tahun yang dilaporkan hilang di dalam hutan di India ditemui di sempadan berhampiran Myanmar selepas 38 tahun.


Ng Chhaidy, yang kini berusia 42 tahun akhirnya dipertemukan semula dengan ibu bapanya selepas dia hilang ketika sedang bermain dengan sepupunya, Beirakhum pada 1974.

Menurut bapanya, Khaila, 62, selepas hilang, mereka telah mencarinya di merata tempat termasuk di dalam hutan namun hanya sepupunya ditemui.

“Kami telah hilang harapan untuk menemuinya semula.

“Sehari selepas kehilangannya, hujan dan ribut berlaku di kawasan berkenaan dan ramai yang menganggap anak saya tidak akan dapat hidup. Namun selepas Beitakhu ditemui di rumah penduduk kampung lain, timbul harapan baru untuk mencari Chhaidy,” katanya.

Sesetengah penduduk di kampung Saiha pula percaya Chhaidy ditangkap oleh hantu kerana mereka percaya kawasan hutan itu berhantu.

Menurut Khaila, sebagai petani, dia sendiri selalu masuk ke dalam hutan namun tidak pernah menemui anaknya sehinggalah beberapa tahun selepas itu, mereka mendengar mengenai seorang wanita yang tinggal di hutan dalam keadaan bogel.

“Kami mendengar ada wanita tinggal dalam hutan dalam keadaan bogel dengan rambut dan kuku yang panjang, kadang kala kelibatnya dilihat di sebelah sempadan Myanmar, dan dia sering menyerang orang, namun kami tidak pernah cuba mencarinya,” kata Khaila.

Namun semuanya berubah pada bulan Julai lalu apabila dia bersama saudaranya melawat kampung Saiha dan ketika sedang makan, mereka dimaklumkan mengenai penemuan seorang wanita di dalam hutan, kira-kira empat tahun lalu.

Wanita itu telah ditemui oleh salah seorang penduduk kampung dan dia dipelihara oleh keluarga berkenaan.

“Saya kemudiannya menemui keluarga berkenaan dan mereka memaklumkan menemui wanita tersebut dalam keadaan bogel dan dalam keadaan nazak di kawasan perkuburan tersebut, empat tahun lalu.

“Sepintas lalu saya teringatkan anak saya yang hilang dan mungkin itu adalah anak saya lalu saya mengunjunginya,” katanya.

Kali pertama bertemu, Khaila berkata dia tidak mengenali anaknya, hanya tanda lahir dan muka yang membuktikan wanita itu adalah anaknya,” katanya.

Namun malangnya, wanita itu tidak langsung mengingat imasa silamnya dan biarpun mereka cuba membantu dia mengingati masa lalu, namun gagal.

“Bagaimanapun, keesokan harinya, Chhaidy memeluknya saya dari belakang dan memanggil saya bapa. Saya tidak dapat meluahkan bagaimana gembiranya saya ketika itu,” katanya.

Chhaidy kemudiannya dibawa balik ke India, bulan lepas, namun dia tidak menerima sebarang rawatan sama ada fizikal atau mental.

Setiap hari dia akan menghabiskan masa bermain dengan penduduk kampung tidak kira tua atau muda dan hanya boleh bertutur beberapa perkataan sahaja.

Setiap kali bangun pagi dia akan menyapu mukanya dengan krim, mengecat kukunya dan memakai gincu.

Agak mengejutkan bagi wanita yang tinggal di dalam hutan selama hampir 40 tahun, Chhaidy tidak berasa janggal dalam menjalani kehidupan normal walaupun perangainya masih keanak-anakan.

“Setiap hari dia belajar perkataan baru dan turut membantu ibunya melakukan kerja rumah,” kata Khaila.

-Mynewshub.my

0 comments:

Post a Comment

Hamidi7884.net tidak bertanggungjawab di atas setiap komen, pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. Ia adalah pandangan peribadi pelawat dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian 'kami'.

[RAKAN BLOGGER]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...